Tuesday 17 May 2011

Kesan interaksi manusia terhadap alam

BUMI merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai kepada manusia. Bumi menjadi tempat kediaman manusia, tempat manusia berkembang biak, tempat manusia mencari rezeki. Bumi, pada hakikinya menjadi tempat manusia melaksanakan pengabdian kepada penciptanya iaitu Allah.

Pada bumi Allah hamparkan segala macam tumbuhan, haiwan, dan galian demi manfaat kehidupan manusia. Pada tangan manusia pula Allah kurniakan keupayaan mengurus alam ini berbekalkan akal dan nafsu yang dimiliki.

Tetapi kapal yang berlayar di lautan tanpa sebarang petunjuk seperti kompas atau sebagainya tidak akan sampai ke matlamat daratan yang dituju yakni tersesat di lautan dan akhirnya kehabisan bekalan untuk hidup. Begitu juga dengan kehidupan manusia di dunia ini memerlukan petunjuk untuk memandu mereka menjalani kehidupan ini.

Justeru Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih, Maha Memberi Petunjuk bukan sahaja melimpahkan nikmat jasadi yakni alam ini tetapi juga bersama petunjuk ilahi agar manusia mengenali tujuan mereka diciptakan, mensyukuri nikmat yang dikurniakan serta mengurus kehidupan secara bijaksana.

Al-Quran dan sunah berperanan sebagai sumber rujukan utama buat manusia menjalankan tugas sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Pembangunan yang direncana secara asasnya perlu seimbang dari sudut fizikal mahupun rohani.

Akibat perbuatan tangan manusia

Islam tidak menolak pembangunan hatta kemodenan bahkan ia dituntut demi kesejahteraan manusia itu sendiri. Tidak mungkin manusia mampu untuk memenuhi keperluan prasarana segenap populasi manusia yang semakin berkembang tanpa digerakkan pembangunan itu sendiri.

Namun pada masa yang sama kesejahteraan alam perlu dipentingkan agar manusia dapat hidup dalam suasana yang aman dan sejahtera. Apabila keseimbangan alam tersebut terganggu oleh interaksi manusia terhadap alam, maka dalam jangka masa panjang manusia jua akan menerima kesannya terhadap kualiti kehidupan mereka.

Hari ini kita sudah dapat melihat kesan tersebut seperti masalah kesihatan, perubahan cuaca dunia dan pencemaran alam. Kesemuanya berkait rapat antara satu sama lain dan pada dasarnya berpunca daripada perbuatan tangan manusia sendiri.

Sebagai contoh, pembakaran hutan secara meluas serta peningkatan kenderaan di jalanan telah meningkatkan pembebasan asap dan jelaga ke ruang udara. Akhirnya situasi ini bakal mewujudkan fenomena jerebu yang menyebabkan berkurangnya jarak penglihatan manusia di persekitaran luar rumah.

Masalah jerebu turut menyebabkan ramai mengalami masalah kesihatan berkaitan pernafasan seperti batuk, selesema dan demam. Malahan manusia juga kehilangan nikmat menghirup udara segar dan nikmat pemandangan indah.

Isu pemanasan global pula berpotensi mencetuskan kesan kemusnahan yang mengancam kelangsungan hidup (survival) manusia di muka bumi ini. Aktiviti penjanaan tenaga dan pembakaran bahan api fosil dalam pelbagai enjin telah meningkatkan pembebasan tenaga haba ke sekeliling dan seterusnya menyebabkan peningkatan suhu bumi.

Impaknya, bongkah ais di kawasan kutub mampu mencair pada kadar yang mengejutkan. Ini bermakna, isipadu air laut semakin bertambah dan memungkinkan mana-mana kawasan rendah di dunia ini dinaiki oleh air laut.

Mungkin hari ini fenomena sedemikian masih belum jelas kelihatan dan memerlukan kajian mendalam di peringkat global bagi mengesahkan kesan pada skala besar terhadap segala macam pencemaran alam yang berlaku.

Namun ia seharusnya mampu membuka mata kita betapa pentingnya usaha memelihara dan memulihara alam sekitar agar bumi ini sentiasa selamat dan sejahtera untuk didiami oleh manusia pada zaman ini mahupun generasi seterusnya.

Fikir dahulu sebelum buang

Dalam melakukan sesuatu, umat Islam perlu berfikir bahawa manfaat perbuatannya bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga persoalan dosa pahala serta kesannya terhadap alam ini dan kemaslahatan generasi akan datang.

Andainya pada zaman kita, manusia begitu rakus mengguna pakai pelbagai sumber alam tambahan pula menimbulkan kerosakan pada alam, bayangkan bagaimana kualiti kehidupan yang bakal dihadapi anak cucu kita nanti.

Adakah mereka perlu membiasakan diri bernafas dalam suasana berjerebu yang menyesakkan? Atau mungkin melihat sahaja dari jauh sungai-sungai yang semakin menjadi longkang mengalirkan segala macam pencemaran ke dalam laut dan akhirnya mematikan ikan-ikan yang sepatutnya menjadi sumber makanan manusia itu sendiri?

Setakat ini, kemodenan yang dicapai tidak mampu untuk seratus peratus memulihara alam sekitar yang semakin tercemar. Namun hal ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berdiam diri.

Kita mungkin tidak mampu untuk menghentikan sepenuhnya pencemaran alam yang berlaku, tetapi usaha kita walau sekecil manapun tetap amat bermakna dalam mengurangkan kesan kerosakan daripada menjadi lebih parah.

Umpamanya, bahan buangan daripada rumah kita tidak semuanya adalah sampah sarap, tetapi sebenarnya ada yang berpotensi untuk dikitar semula seperti tin-tin aluminium dan sebagainya.

Aktiviti kitar semula bahan terbuang akan membantu mengurangkan tahap pelupusan sampah sarap dan bahan tercemar. Malahan kita dapat juga mengurangkan keperluan untuk meneroka dan menjana sumber alam yang baru.

Aktiviti pengitaran semula kertas terpakai membantu mengurangkan sedikit sebanyak keperluan menebang pepohon di hutan untuk dijadikan stok kertas baru. Aktiviti pengitaran semula bahan-bahan plastik membantu mengurangkan pembuangan bahan sedemikian yang sebenarnya tidak mudah terurai dalam tanah secara biasa.

Kesimpulan

Terdapat pelbagai aspek dalam menuju ke arah pembangunan yang lebih mesra alam. Aktiviti kitar semula seperti yang dihuraikan hanyalah merupakan salah satu kaedah umum dalam menjaga alam sekitar.

Kita boleh sahaja mengeluarkan seribu satu idea bernas seumpamanya asal sahaja ada cetusan dan kemahuan untuk menjaga kesejahteraan alam.

Bagi umat Islam, kesedaran untuk memelihara alam ini akan lebih bermakna andainya ia dihubungkan dengan maksud penciptaan manusia serta prinsip pengurusan diri dan alam seperti yang dijelaskan dalam al-Quran.

No comments:

Post a Comment