Tuesday 17 May 2011

Cerpen Alam : Marah sang semut, nasihat si pokok Tin

Beberapa ketika sebelum kejadian itu bermula, jauh dari bumi matahari terbit di kawasan padang pasir gersang yang letaknya di timur tengah dua makhluk istimewa ciptaan Tuhan yang maha Esa ini sudah menjangka bahawa perkara itu akan berlaku. Mereka mula bergilir meluahkan isi hati mereka kepada Tomtom, pelajar yang datang merantau ke bumi penuh sejarah ini.
Tomtom melakukan rutin hariannya di dapur seperti biasa mencuci pinggan dan mangkuk sambil mengambil udara nyaman di akhir musim sejuk itu. Musim sejuk kali ini sangat menghairankan di bumi itu. Tiada salji yang berkunjung tiba kali ini. Tiada siapa pun yang menjangka ia amaran awal oleh Tuhan yang Esa melalui Alam.
Tingkap di dapur dibuka luas agar Tomtom boleh menghirup udara percuma kurniaan Allah yang jarang disyukuri ini. Ada sebatang pokok Tin lama di halaman belakang rumahnya itu. Sudah lama ia wujud disitu. Tomtom menjangkakan usianya hampir puluhan tahun. Tiba-tiba pokok Tin itu bergoyang dan seperti mahu berbicara sesuatu.
“Ish..Ish… Manusia oh manusia, sampai bila kau nak berubah”, Tomtom diam seribu bahasa. Mencari dari arah mana suara itu. Mengapa tusuknya bukan ditelinga tapi dihati.
Tomtom kehairanan. Matanya tepat melihat ke arah pokok Tin yang bergoyang itu. Hatinya seakan memberi isyarat menunjukkan dari mana arah suara itu datang.
“err..kau yang berbicara wahai pokok Tin?”, Pemuda bertubuh kecil ini mula mengajukan soalan tanpa mengagak. Persoalan itu timbul dari hati.
Pokok Tin itu bergoyang lagi. Kali ini lebih kuat.
“Ish..Ish.. itulah manusia diberi nikmat jarang sangat berterima kasih apatah lagi menerbitkan syukur dari hati. Nikmat kebersihan yang diberi diambil leka. Buang sisa basuhan merata-rata, bila bumi mengamuk mulalah nak menyesal. Sesal kemudian tiada akhirnya” Kali ini betul-betul membuatkan Tomtom umpama terhantuk di dinding batu-bata. Malu atau bagaimana?.
“Kau perli aku kah wahai pokok Tin tua? Aku bukan buang sampah merata-rata, itu hanya sisa makanan yang dibuang ke tanah, bukan banyak sedikit sahaja. Aku rasa ia kitar semula kedalam tanah, salahkah?”, Ego manusia masih lagi melekat di sisi Tomtom. Mahu terus membela diri.
“Oh..aku ingatkan manusia hanya buang sampah di tong sampah. Kalau sisa dibuang ke tanah merata-rata. Habislah dunia, tiada apa yang tinggal. Nikmat bersih sudah ditarik. Inilah perangai manusia, tidak habis-habis dengan ‘rasa-rasa’ dan suka membangga diri melangit tinggi. Sanggup tunduk dengan nafsu, lupa nikmat yang paling utama”, Langgam bahasa pokok Tin itu makin memerli. Tajam menyucuk hati manusia itu.
“Kenapa aku perlu ikut cakap kau wahai pokok Tin tua, aku boleh bergembira dengan hidup aku sekarang, suka hati aku lah nak buat apa. Tanah aku. Tanah manusia kau tahu. Kau terpacak disana diam-diam sajalah. Dasar menumpang!”, Tomtom masih lagi menyimpan ego. Walaupun hatinya tercalar seribu.
“Aku tak suruh pun kau ikut cakap aku. Aku Cuma menyampaikan hasratku. Sekian lama aku tidak dapat bersuara dengan manusia seperti kau. Jangan angkuh, kelak kau jatuh sesal tersungkur. Ingat Tomtom, jangan kau jadi insan pelupa. Aku juga punya hak di bumi ini. Geran yang tuhan kurniakan pada aku lebih benar dan adil. Tanah ini hak aku. Aku juga penyumbang rezeki di bumi ini” Lantas kedengaran sayup bunyi surah Fathir dari Al-quran ayat yang ke-3.
“Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)?” (Fathir – 3)
“apa kau masih mahu menafikan hak aku di tanah ini? Atau kau masih hanyut dengan ego yang kau miliki sekarang?” Sambung si pokok Tin itu.
“…………………………….” Terkedu lidah Tomtom untuk berbicara. Ia menjadi bisu sekejap. Terpukul diam dek pukulan hebat perlian si pokok Tin itu.
Segera Tomtom menutup pintu tingkap itu. Tidak mahu lagi berbicara dengan Pokok itu. Dia meninggalkan dapur dengan keadaan yang terpinga-pinga. Namun marahnya masih lagi berbuku dihati. Tidak mahu dia kalah dengan makhluk bukan manusia itu. Manusia kan khalifah dibumi ini.
Tomtom duduk di birih katil kayu didalam biliknya. Ada sebuah meja dan di atas meja itu ada sebuah komputer riba. Berlapikkan tilam nipis yang dilipat dua dia duduk untuk menghilangkan tekanan. Suis komputer riba dipasangkan. Lampu penanda sudah menyala, tinggal tunggu untuk memulakan fungsinya. Masa yang sama pemetik api juga dipasang. Ini tandanya rokok si perokok akan dicucuh. Tomtom juga manusia yang gemar merokok.
Sekumpulan semut berjalan secara teratur menaiki dinding bilik yang bercat kuning terang dan putih. Umpama sepasukan askar yang berjalan dengan teratur. Lama Tomtom melihat kumpulan semut itu. Tiba-tiba dia terdengar suara. Kali ini semacam ramai pula bunyinya.
“Hinanya asap, sakit hati aku”
“tak habis-habis mencemarkan udara”
“Mana udara tak bersih, asyik berkepul-kepul saja asap”
“Apalah mereka suka sangat dengan rokok tu”
Bingit telinga Tomtom mendengar suara-suara dari jemaah askar semut itu.
“Woi, diamlah kamu. Tak habis memerli aku. Aku picit mati baru tahu”  Bentak Tomtom dengan mukanya yang merah.
Seekor semut yan sedikit besar dari kumpulan semut itu tiba-tiba keluar barisan kumpulan semut-semut yang lain.
“Hoi manusia, apa punya kejam kau ni?! Kami yang kecil lagi lemah kau nak bunuh? Tak rasa malu kah? Sudahlah kau setiap hari cuba membunuh manusia-manusia lain dengan asap rokok kau yang tak berguna tu. Kami makhluk sekecil – kecil pun kau nak bunuh? Hinanya!” Herdik semut itu. Barangkali ia adalah “sarjan” dalam kumpulan semut itu.
“Eh, bila masa aku cuba membunuh manusia-manusia lain? Kau bicara apa sang semut? Kau jangan fitnah aku semut aku sembur racun baru tahu!”, Marah Tomtom kerana dirinya dituduh cuba membunuh.
“Eh..eh kau ini buat tak tahu pulak, aku binatang pun tahu yang asap rokok kau ni mampu merosakkan manusia sekeliling kau. Kau pula pandai berdalih. Macamlah kau tak pernah baca maklumat bahayanya merokok. Lagi-lagi asapnya mampu mencemarkan alam. Atau kau buat-buat lupa?  Atau bagaimana?”, Marah sang semut kepada manusia yang sengaja buat-buat tak faham.
“Alaaa, biarlah. Siapa suruh mereka dekat dengan aku. Pergi jauh-jauhlah jangan dekat dengan aku. Hahaha!” Ayatnya cuba membela diri walaupun dia masih tidak sedar yang dia sebagai seorang perosak alam sekitar.
“Ish…Ish…masalahnya kami juga terkena dengan perangai orang macam kamu, kamu mencemarkan dunia. Kalau dunia sudah kotor, akan datang bencana. Kenapa kamu tidak pandai berfikir? kamu ni manusia memang manusia. Tak pernah rasa menyesal dan bersalah. Angkuh!….pcaaakkkk!!!!”, belum pun sempat sang semut meneruskan suara hatinya pada Tomtom, ia sudah mati dipicit ibu jari gemuk si Tomtom itu.
Maka bertempiaranlah lari kumpulan semut-semut yang ada menyelamatkan diri dari dibunuh si manusia ego itu.
“Sekarang siapa boleh menghalang aku merokok??!”, Bangga sungguh si Tomtom dengan membunuh semut yang jutaan kali lebih kecil dari dia.
Dari kejauhan lubang-lubang dinding. Suara semut-semut lain bergema.
“Nantilah kau manusia, Tuhan yang Esa pasti membalasnya!”
“Tunggu sajalah pengajaran Tuhan jika kau terus begitu, ego!”
Tomtom membiarkan suara-suara itu berlalu pergi. Egonya terus membina empayar didalam lubuk hatinya. Hatinya sudah tertutup berbicara dengan suara-suara Alam. Malam itu dia mahu tidur nyenyak meraikan kejayaannya sebagai manusia.
Manusia angkuh sebenarnya!.
“Biar Tsunami ini jadi igauan ngeri sang manusia, mereka lupa nikmat tuhan yang maha kuasa!”
Sekumpulan burung memulakan pengembaraan mereka dengan memenuhi ruang udara untuk  menyampaikan isi hati mereka pada alam, walau ia tidak didengari manusia namun itulah tempelak sang burung yang paling garang disuarakan sebelum bumi Fukue Shima tenggelam ditelan ombak besar pengajaran tuhan yang amat dahsyat.
Gempa yang mencecah 9.0 skala rithcer itu cukup untuk membuatkan hampir puluhan ribu manusia kehilangan nyawa dan tempat tinggal. Sungguh hebat kuasa Tuhan menegur hambanya supaya terus taat dan tidak takbur berdiri di bumi ini.
Segalanya sudah terjadi.
Tomtom membuka siaran televisyen pagi itu. Muka berubah pucat melihat gempa yang memusnahkan bumi matahari terbit. Siaran berita dimana-mana siaran semuanya sibuk membincangkan isu gempa dan Tsunami Jepun.
Fukue-Shima!
Tiba-tiba Tomtom terfikirkan adiknya Timtim yang berada disana. Ya, di Fukushima. Selang beberapa minit dia mendapat panggilan Telefon daripada orang tuanya.
Bagaikan bergantung tidak bertali. Timrtim 90% dikhuatiri mati dalam Tsunami. Untuk hidup amat tipis, kawasan rumah adiknya sangat berhampiran dengan kawasan bencana.
Tomtom terkenangkan kisah si pokok Tin dan sang semut semalam. Adakah ia kebetulan atau amaran Tuhan?
Baru Tomtom sedar yang kelalaiannya menjaga bumi pinjaman Tuhan buat manusia ini menyebabkan adiknya kini dikhuatiri hilang.
Terpandang Tomtom sejadah pemberian ibunya. Mahu saja dia terus beribadat memohon doa pada yang Esa.
Kini, Sejadah itu pula besuara.
“Bersujud memohon belas kasihan 1000 tahun sekalipun, tak akan mengubah dunia yang sudah berubah. Mengapa hari ini baru kau memandang aku dengan wajah sesal?” Sangat pedih perlian hamparan sejadah itu.
Air mata Tomtom hanya mengalir. Egonya sudah dibawa Tsunami. Hilang serta merta.
Air mata pula berbicara untuk Tomtom.
“Jangan hanya menangis manusia, dunia belum kiamat, Kamu harus berubah. Benar-benar berubah”.
Hari itu bakal mengubah hidupnya si Tomtom.
Manusia angkuh yang akhirnya juga menjadi tanah!!

No comments:

Post a Comment